Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit

"Jika anda berkawan dengan orang yang suka berterus-terang, kata-katanya mungkin menyakitkan kadang-kadang, tetapi sekurang-kurangnya dia jujur".

Bekerja dengan Anwar satu kesilapan - Tun M

Posted by 110100100101 Sunday, April 07, 2013

Mengimbas kembali kenyataan berseloroh Datuk Sri Najib ketika membentangkan akujanji BN sebentar tadi. Beliau mengutarakan soalan kepada Tun Mahathir apakah yang telah dilakukan oleh Anwar ketika dia memegang jawatan sebagai Menteri kabinet? Apakah sumbanganya pada waktu itu untuk memulihkan keadaan ekonomi Malaysia yang ketika itu mengalami kegawatan? Jawapannya ada di bawah ini.

Sebenarnya Anwar tidak pernah diuji kebijaksanaannya dalam melaksanakan dasar-dasar kementerian yang pernah dia menjadi menterinya. Sewaktu menjadi Menteri di Kementerian kebudayaan, belia dan sukan dia tidak pernah melahirkan sesuatu dasar kebudayaan yang memancarkan pemikirannya yang bernas, kritis dan berpandangan jauh.

Walau pun dia gemar bercakap tentang insan yang mulia, akhlak yang tinggi, nawaitu yang tidak gelong, menyanjung tinggi ilmu pengetahuan dan kreativiti namun segala nilai-nilai hidup yang maha besar itu tidak dapat diterapkan dalam pemikiran kebudayaan.

Yang berkembang subur hanya tarian inang, zapin, ronggeng, mak yong dan menora yang hidup zaman berzaman. Begitu juga bila dia menjadi Menteri pertanian. Orang mengharapkan sebagai seorang pemimpin yang prihatin terhadap golongan petani dan nelayan Anwar mungkin dapat melaksanakan berbagai projek ekonomi dan pembangunan untuk menaikkan taraf hidup golongan tersebut.

Malangnya dia tidak melaksanakan sesuatu projek ekonomi yang memberangsangkan untuk golongan petani dan nelayan. Pemberian subsidi lembu pawah, baja, motor sangkut, pukat dan benih ikan dan sebagainya telah pun dimulakan oleh Menteri-menteri pertanian sebelumnya. Anwar hanya melanjutkan usaha tersebut. Tidak lebih dari itu.

Malah selaku Menteri pendidikan dia juga gagal melaksanakan dasar yang lebih bererti untuk pembangunan dan kemajuan sistem pendidikan negara. Tidak ada suatu dasar positif di bidang ini yang dapat dikatakan sebagai buah tangan dan pemikiran Anwar. Yang nyata dia menjadikan Institut Aminuddin Baki di Genting sebagai pusat indoktrinasi untuk menanam pemujaan terhadap dirinya yang dilaksanakan oleh juak-juaknya.

Memang Anwar bijak bercakap, memintal lidah dan menabur janji baik dalam bidang kebudayaan, pertanian dan pendidikan tetapi malangnya janji hanya tinggal janji.

Sebagai Menteri kewangan apakah Anwar berjaya menangani kegawatan ekonomi yang melanda negara kita? Nahe, nahe. Elek. Elek. Inilah ujian paling besar dihadapi Anwar sebagai Menteri kabinet. Kegawatan ekonomi mempengaruhi seluruh rakyat dan menjejaskan kehidupan semua orang.

Tun Mahathir, Perdana Menteri pada masa itu ingin melihat bagaimanakah Anwar hendak memulihkan ekonomi negara dan apakah dasar kewangan yang akan dilaksanakannya untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan juga para pelabur.

Nampaknya dasar kewangan yang dilaksanakan Anwar menimbulkan masalah yang lebih besar terhadap pertumbuhan ekonomi. Anwar berkata fundamentals syarikat-syarikat di BSKL masih kukuh tetapi tidak mendapat keyakinan para pelabur tempatan mahupun asing. Lalu dia berkiblat ke IMF dan meminta nasihat dari pengarah urusan IMF, Camdeseus, walau pun Malaysia tidak meminta pinjaman dari institusi tersebut seperti mana yang dilakukan Indonesia, Thailand, Filipina dan Korea Selatan. IMF menasihati Anwar menaikkan faedah bank sehingga melebihi 23% setahun.

Tujuan IMF ialah untuk melemahkan kepimpinan negara melalui dasar pemulihan ekonominya yang terlalu keras dan tidak sesuai dengan keadaan sosio-budaya politik negara kita. Kononnya IMF inginkan ketelusan dan ingin menghapuskan korupsi, nepotisme dan kronisme dalam pentadbiran dan ekonomi negara untuk memulihkan semula ekonomi negara-negara Asia.

Anwar juga mengangguk seperti poke kenyang apa yang diutarakan oleh IMF. Dia menyedari bahawa dia tidak mempunyai idea-idea pemulihan ekonomi yang baik dan mengharapkan IMF membantunya. Anehnya Anwar sendiri mengakui tidak ada ketelusan dalam pengurusan perbankan dan pentadbiran walhal dia sendiri menjadi Menteri kewangan dan boleh mengatasi masalah ketelusan tersebut. Tetapi dia tidak melakukan apa-apa. Hanya bercakap dan bercakap mengenai ketelusan dan korupsi!

Di manakah letaknya kewibawaan Menteri kewangan Anwar Ibrahim bin Mat Saman (You ulang I saman) yang ahlan wa sahlan dengan Marchael Comdeseus, pengarah urusan IMF dan menerima segala arahan dan nasihat yang membawa Malaysia ke tebing kehancuran? Apakah Anwar sanggup mengkhianati bangsa sendiri dan menggadaikan kemerdekaan negara hanya kerana dia terlalu taksub dengan ajaran sesat dari IMF dalam menangani kegawatan ekonomi negara? Atau apakah dia mempunyai agenda politik tertentu atau muslihat tertentu bila menerima nasihat-nasihat membawa kehancuran dari IMF?

Sebagai seorang nasionalis yang bermaruah yang juga seorang reformis sosial berwibawa Tun Mahathir melihat Anwar tidak mampu mengatasi kegawatan ekonomi. Dia hanya ada oomph bila berpidato dengan penuh gaya ala pelakon Hindustan tetapi malangnya tidak mempunyai idea yang bernas dan berkesan untuk mengatasi kegawatan ekonomi. Seperti tikus membaiki labu. Dia tidak berdaya mencari jalan yang baik untuk mengatasinya. Dia terpaksa menyerah kepada orang asing untuk menyelesaikannya. Seperti kata Datuk Sri Najib, kalau beginilah caranya, semua orang pun boleh jadi Menteri kewangan. Jika ada masalah serahkan kepada orang lain untuk menyelesaikannya.

Inilah ujian yang paling besar yang pernah dialami Anwar sejak disintuklimau sebagai Menteri kabinet oleh Tun Mahathir pada tahun 1982. Justeru Perdana Menteri harus bertindak tegas dan cepat sebelum nasi menjadi bubur. Perdana Menteri sedar ada ada pihak tertentu dalam negara yang cuba sabotaj ekonomi negara bagi mencapai tujuan politik mereka seiring jalan dengan sokongan dari kuasa luar. Dalam kilat ada kilau. Mainan baling batu sembunyi tangan sudah dapat dikesan oleh rakyat.

Tetapi Allah Maha Berkuasa dan Maha Kaya. Nawaitu yang gelong dari pemimpin yang tidak bermaruah dan menjadi agen kuasa luar dapat dibendung sebelum Malaysia jatuh ke lembah kehinaan dan kebankrapan. Apakah yang dilakukan Mahathir untuk memulihkan semula ekonomi negara yang tenat dan tidak bermaya itu? Beliau mengejutkan dunia dan mengejutkan seluruh rakyat termasuk Menteri kewangan yang tidak berkesan itu. Kerajaan mengenakan kawalan kewangan yang ketat untuk menarik semula simpanan ringgit di luar negara dengan memberikan masa sebulan sahaja. Selepas tempoh sebulan wang ringgit yang tidak kembali ke tanah air tidak laku lagi. Di samping itu, kerajaan mengenakan tukaran nilai ringgit yang tetap RM3.80/ dolar dan banyak lagi strategi-strategi kewangan lain yang super bernas diamalkan kerajaan. Kesannya ekonomi Malaysia kini bernafas segar.

Rakyat yang ada maruah dan harga diri tahu menilai dan mengenang budi, dapat membezakan antara pemimpin yang berjasa dengan pemimpin yang hanya bijak berkata-kata.










1 Responses to Bekerja dengan Anwar satu kesilapan - Tun M

  1. Anonymous Says:
  2. Itulah Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad yang dipilih oleh Allah swt.

     

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...